Memaparkan catatan dengan label iluv islam.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label iluv islam.. Papar semua catatan

Isnin, 21 Februari 2011

Di Kala Rasa Lemah Itu Menjengah.

In The Name Of Allah


Memang.

Rasa lemah itu kadangkala menyapa diri.

Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.

Terkadang, cukup satu ujian yang menerpa. Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.

Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.

Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.

Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?

Bagaimana kita menyingkapinya?

Saya percaya,menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.

Benar. Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah berada dalam kondisi itu. Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri. Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.

Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.

Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.

Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu. Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?

Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.

Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.

Bersangka baiklah.

Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia..Pasti punya hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." - \[Surah Al-Baqarah, 2: 216]

Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar. Inallaha ma'as sobirin..Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.

Sabar.

Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat. Agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.

Kesilapan kita.

Ada masa kita silap.

Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.

Terkadang, kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.

Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.

Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?

"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - \[Surah An-Nisa', 4: 32]

Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.

Bukankah ujian itu datangnya dari Allah? Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?

Namun, silapnya pada kita.

Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.

Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat, berkuasa.

Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.

Wujudnya saat muhasabah.

Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri. Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama ini. Itupun jikalau mereka sedar.

Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.

Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.

Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?

Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.

Baik.

Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?

Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat. Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang ada. Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?

"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo'a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan." - \[Surah Yunus, 10: 12]

Maka, di situ punya hikmah untuk sama-sama kita renungkan.

Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.

Dia mahu kita kembali kepadaNya.

Dia mahu kita selamat di 'sana'.

Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.

Sekarang, jawab dengan hati kita. . .

Benarkah selama ini kita telah meletakkan Dia sebagai matlamat hidup kita?
Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti kita capai?

Benarkah kita telah meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepadaNya?
Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding Dia Yang Maha Sempurna?

Moga-moga, hati-hati yang bersih itu mampu memberikan jawapan yang jujur.

Kerana saya yakin, pasti semua tahu, bahawa apabila kita sudah mengakui Allah itu sebagai Tuhan kita, seharusnya hanya Dialah yang menjadi matlamat utama hidup kita. Dan hanya kepadaNya jualah tempat kita bergantung segala.

Dan perkara-perkara lain yang 'terkorban' (ketika diuji) itu, tidak lain hanyalah salah satu kurnia dariNya dan juga sebagai ujian pembuktian keimanan manusia.

Seharusnya ia tidak mampu menggoyah matlamat hidup serta keyakinan kita.

Selama ini, adakah itu cara kita melihat?

Penutup: Kembali sedar matlamat dan peranan hidup

Kembalilah menapak bersama matlamat dan hala tuju yang jelas.

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepadaKu." - \[Surah Ad-Dzariyat, 51: 56]

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata, 'Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." \[Surah Al-Baqarah, 2: 30]

Manusia itu seharusnya sedar, bahawa tujuan dia tercipta di muka bumi ini adalah untuk menghambakan diri kepadaNya (melaksanakan tanggungjawab dan perintahNya, serta meninggalkan laranganNya).

Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya 'Illah' (Tuhan) seluruh semesta.

Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.

Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa. Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.

Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.

Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.

Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.

Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.

Wahai diri,

Kali ini. . .

Letakkan Dia 'bersama' ketika kamu menapak.

Dan pasti, jalan penyelesaian itu akan mula kelihatan.

 "Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu."[Surah At-Talaq, 65: 2-3]
wallahu alam..
sumber: i luv islam 

Jumaat, 4 Februari 2011

Bagaimana bercouple cara islam.??

Islam adalah agama yang syumul. Sebuah agama yang  lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan ingin disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti  sedia ada jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?

Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaanya.

Rasulullah s.a.w. pernah mengecam salah seorang sahabat  yang bertekad untuk tidak bernikah. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui fitrah manusia yang ingin mengasihi dan dikasihi atau  mencintai dan dicintai.

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termetrainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam telah menggariskan panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini.

[B]Ustaz Hassan Din[/B] telah memberikan pendapatnya mengenai hal ini dalam [B]Al-Kulliyah di TV3 pada 28 Julai 2006[/B]. Tajuk perbincangan Al-Kulliyah ketika itu agak menarik ; iaitu "Jodoh".

[B]Masyarakat Sudah Lari[/B]

Apabila diminta memberikan pendapat beliau, beliau telah mengatakan  bahawa cara masyarakat sekarang mengendalikan perihal jodoh telah lari  daripada syariat yang sepatutnya.

"Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidupnya, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi untuk menyatakan niatnya untuk masuk meminang.

Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan empunya diri dan terus menyatakan hasrat hatinya. Kemudian mereka bercinta, berjanji, bersumpah setia dan segala-galanya. Sedangkan ibubapa mereka langsung tidak tahu akan hubungan mereka itu. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, mak dan ayah tidak bersetuju dengan mengeluarkan pelbagai alasan," terang beliau.

[B]Konsep Meminang[/B]

Beliau juga menerangkan konsep peminangan ini. Kata beliau, "Ibu bapa mungkin sudah ada pilihan mereka sendiri. Oleh itu, dengan menyatakan niat kepada ibubapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali keluarga dan calon menantu mereka dengan lebih jelas.

Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi telah menjadi tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempaun itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda.

Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan," jelas beliau lagi.

Namun begitu, Ustaz Hassan Din menegaskan bahawa bertunang bukan merupakan lesen yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesra-mesra seperti suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta.

Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu manjaga batasan-batasan Islam seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.

Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

[B]Perigi Cari Timba[/B]

Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, 'macam perigi mencari timba', 'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi." Sabar dahulu saudari.

Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sirah.

Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah.

Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.?

Cuma biarlah caranya sesuai dengan  cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya  mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju,  alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.

[B]Indahnya Cara Islam[/B]

Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani. Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.

sumber: iluv islam..

Khamis, 3 Februari 2011

Hari kekasih-laluan kemungkaran.


Menjelang bulan Februari, pasti ramai anak-anak muda yang sedang hangat dilamun cinta tidak sabar untuk meraikan ketibaan Hari Kekasih atau Hari Valentine yang jatuh pada tanggal 14 Februari. Bahangnya makin terasa.Kita boleh lihat banyak iklan, promosi dan tawaran hebat diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kekasih. Bukan itu sahaja, lebih menarik lagi, pelbagai filem berunsur romance dihidangkan sepanjang bulan kekasih ini buat santapan si pencinta bagi menghangatkan lagi suasana bersama pasangan masing-masing.
Namun begitu, dalam sedar atau tidak, kita boleh lihat bukan sahaja masyarakat bukan Islam yang menyambut Hari Kekasih, malah umat Islam juga turut sama meraikan perayaan tersebut walaupun hari yang diraikan tidak terdapat dalam ajaran Islam.
Melihat pada fenomena ini, sambutan Hari Kekasih semakin mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam khususnya golongan remaja. Lebih menyedihkan lagi, terdapat segelintir daripada mereka yang bertindak di luar batasan sehingga menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat. Berlakunya perbuatan-perbuatan tidak bermoral seperti zina, minum arak, menghidu gam, menghisap ganja dan dadah secara tidak langsung mencerminkan keperibadian yang bobrok dalam kalangan remaja dan memberi gambaran negatif terhadap golongan remaja, dari segi agama dan negara, keluarga dan generasi yang akan datang.
Tindakan Penyelesaian
Bagi membina kekuatan dalaman remaja Islam hari ini serta menghindarkan mereka daripada terus menerus terjebak dalam unsur kurang sihat seperti hari kekasih adalah dengan mengukuhkan keilmuan dan keimanan. Penjelasan berkenaan larangan menyambut hari kekasih perlulah diwar-warkan kepada seluruh umat Islam khususnya remaja agar mereka faham apa sebenarnya erti disebalik hari kekasih atau Hari Valentine.
Para emaja hendaklah didedahkan dengan ajaran-ajaran agama supaya pegangan iman mereka sentiasa teguh dan tidak mudah goyah dengan gangguan manusia dan syaitan.
Keinginan remaja untuk mencuba sesuatu yang baru sememangnya tidak boleh dielakkan. Dan  tidak dinafikan juga bahawa remaja juga mudah memberontak. Mereka masih muda dan tidak tahu arah tujuan sebenar hidup di alam sementara ini. Apa yang dikejar hanyalah keseronokan. Dan penulis tidak terkejut jika terdapat antara mereka yang memberikan pelbagai alasan demi membenarkan mereka menyambut perayaan ini.
Antara alasan yang lazim didengari dari remaja sekarang  ialah menyambut Hari Kekasih secara tidak berlebihan, menyambutnya  dengan hanya menghantar kiriman khidmat pesanan ringkas atau menghadiahkan sekuntum bunga sebagai tanda cinta. Tetapi, mengapa ia tidak dilakukan pada hari-hari biasa?
Selain itu, bukan besar atau kecil hadiah yang menjadi persoalan. Pokok pangkalnya adalah niat. Menurut sumber sejarah, Valentine Day ini telah menjadi acara keagamaan buat penganut Kristian. Apakah kita sebagai umat Islam ingin tergolong dalam golongan penganut kristian?
Di dalam surah Ali Imram ayat 31 telah menyebut "Katakanlah (Wahai Muhammad jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui."
Ayat di atas bermaksud setiap kasih dan sayang yang ditetapkan oleh Islam tidak seharusnya disalahgunakan bagi memenuhi kehendak peribadi sesuatu pihak. Ia perlulah digunakan dalam suasana yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dan boleh diterima pakai oleh masyarakat umum.
Oleh sebab itu, pengetahuan merupakan perkara yang penting dalam hidup supaya kita tidak mudah ditipu dan dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang boleh membinasakan diri kita. Jika ceteknya pengetahuan, maka benteng keimanan seseorang Muslim itu mudah rapuh sekali gus akan hilanglah jati diri dalam kalangan remaja Muslim.
Peranan Pihak Terlibat
Pergaulan yang mesra dan lemah lembut sesama ahli keluarga merupakan faktor yang boleh menyemai semangat kekeluargaan. Lakukanlah aktiviti secara bersama, Insya-Allah anak-anak muda ini pasti memahami bahawa kasih dan sayang bukanlah terletak kepada motif pemberian sahaja, malah lebih kepada mengekalkan hubungan baik serta dapat sama-sama menuju ke jalan yang diredhai.
Selain itu, pihak media juga hendaklah memainkan peranan yang penting dalam membetulkan semula fahaman remaja tentang  hari kekasih. Ini kerana, media merupakan satu medium penyebar infomasi yang paling berpengaruhi oleh segenap lapisan penduduk.
Oleh itu, kesemua pihak yang terlibat hendaklah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka agar tidak menyambut Valentine Day. Tambahan itu, isikanlah hati mereka dengan ilmu-ilmu akidah dan akhlak supaya mereka dapat menjaga benteng keimanan dari menjatuhkan maruah mereka sebagai remaja Muslim.
sumber:iluv islam..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...